Pembelajaran abad ke-21(PAK21) telah
menjadi satu isu yang hangat dalam dunia pendidikan kerana ia dilihat mampu
memenuhi keperluan pendidikan pada masa kini, di samping membawa perubahan baru
dalam dunia pendidikan. PAK21 dikatakan sebagai proses pembelajaran yang
berpusatkan kepada murid. Elemen yang diterapkan, iaitu komunikasi,
kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika.
Elemen-elemen ini juga disebut sebagai standard asas dalam PAK21. Komunikasi
merujuk kepada perbualan yang berlaku di antara guru dan murid atau murid dan
murid untuk berkongsi ilmu yang difahami bersama rakan-rakan lain. Ini yang
dikatakan sebagai komunikasi berpusatkan murid. Kolaboratif dalam dunia
pendidikan pula adalah kerjasama yang wujud antara guru dan murid atau murid
dan murid secara aktif dan menyeluruh, di mana, ia melibatkan pertukaran idea,
pendapat atau pengetahuan antara murid-murid. Pemikiran kritis berlaku apabila
murid-murid mula meneroka pemikiran mereka untuk menilai idea-idea yang
diterima secara rasional dan membuat pertimbangan mengenai idea tersebut
melalui penggunaan alasan-alasan yang wajar. Seterusnya kreativiti merujuk kepada sesuatu
proses yang berlaku, di mana, ia melibatkan penghasilan sesuatu yang baru, berguna
dan juga berkualiti dimana murid perlu berfikir di luar kotak untuk
menghasilkan sesuatu ciptaan yang baru dan berguna.Akhir sekali, nilai
murni boleh ditakrifkan sebagai tingkah laku yang baik, beradab dan menjaga
tatasusila, manakala, etika pula merujuk kepada keperibadian atau perwatakan
seseorang. Dalam dunia pendidikan, elemen ini amat penting untuk diterapkan
dalam diri murid-murid agar dapat membentuk jati diri yang tinggi. Kelas abad ke-21 ini amat sesuai
dilaksanakan kerana ia banyak memberi impak-impak yang positif dalam diri
murid. Dengan wujudnya kelas abad ke-21 ini, murid-murid akan dilatih untuk
memiliki kemahiran yang boleh digunakan pada masa akan datang, seperti
kemahiran komunikasi yang baik, mampu berkolaborasi dan menyelesaikan masalah
berdasarkan realiti kehidupan.
Rujukan
Tamuri, Ab Halim & Hussin, Nur. (2017).Pendidikan Abad ke 21 Dalam Kepelbagaian Budaya: Cabaran dan Harapan. Diperoleh daripada
https://www.researchgate.net/publication/320858903_Pendidikan_Abad_ke_21_Dalam_Kepelbagaian_Budaya_Cabaran_dan_Harapan